d' art of thoughts

Fikir dengan akal, tilik pakai hati.

Biasa Yang Berbisa

leave a comment »

Kelihatan seekor kala jengking berdiri di tebing sungai. Ingin menyeberang ke tebing sebelah sana. Lalu, ia meminta katak membawanya ke tebing seberang sana.

“Bagaimana aku yakin kau tidak akan menyengat aku?” Tanya katak.

“Kerana aku akan lemas kalau aku menyengat engkau,” jawab kala jengking.

Ada benarnya kata-kata kala jengking itu, lalu katak membenarkan kala jengking memanjat ke belakangnya. Dan katak pun berenang.

Sampai di pertengahan sungai, kala jengking menyengat belakang si katak. Sebelum kedua-duanya lemas, sempat katak bertanya, “tapi kenapa?”

“Biasa lah,” jawab kala jengking. Dan kedua-duanya mati lemas, di tengah sungai.

Biasa buat? Bisa buat?

Banyak benda biasa, yang mana bila kita biasakan, boleh menjadi bisa yang akhirnya membunuh diri kita. Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Ibnu Rajab al-Hanbali dan Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab mereka Tazkiyatun Nufuz wa Tarbiyatuha kama yuqarrirruhu Ulama As Salaf menuliskan terdapat empat racun hati yang paling biasa dilakukan, tetapi mempunyai kesan besar kepada hati, iaitu banyak berbicara, pemandangan yang tidak dijaga, terlalu banyak makan dan banyak bergaul dengan sembarangan orang.

Abu Hurairah berkata, hati adalah raja anggota tubuh. Dan anggota tubuh adalah para perajuritnya. Apabila raja baik, maka baik lah para perajuritnya. Dan apabila raja busuk, maka busuk lah para perajuritnya.

“Biasalah!”

Selalu kita dengar orang beralasan dengan alasan ‘biasa’ bila ditegur tentang sesuatu. “Biasalah. Doktor hisap rokok, ustaz-ustaz pun hisap rokok,” itulah jawapan bila ditanya kenapa merokok.

“Alah, lewat sikit saja, bukan tak datang langsung pun. Biasalah, kita kan orang Melayu,” respon bila digesa untuk tidak datang lewat.

Apa masalah sebenar?

Masalah doktor atau ustaz juga hisap rokok, atau masalah dilahirkan sebagai orang Melayu (baca: salah ibu mengandung)?

Atau ini sebenarnya masalah sikap?

Benar. Ini masalah sikap (attitude). Firman Allah dalam Surah Ar-Rad, ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka”.

Ayat ini benar. Bila kita mengubah sikap kita terhadap masa, kerja, orang sekeliling, wang, ilmu dan sebagainya, kita sebenarnya sedang memperbaik kejayaan kita.

Tetapi, bolehkah kita mengubah sikap, tanpa terlebih dahulu menjaga hati kita?

Fikir dengan akal, tilik pakai hati.

Keranda untuk Ayah

with one comment

Di suatu ceruk kampung, tinggal seorang tua bersama keluarga anak lelakinya. Si ayah tua ini tidak nyanyuk walaupun sudah tua. Cuma kudrat tuanya tidak lagi mengizinkan ia bekerja seperti dulu. Ketika muda dahulu, si ayah yang tua ini tanpa mengira lelah, membanting tulang empat kerat mengerjakan sawah dan kebun, demi sesuap nasi untuk keluarganya.

Itu dulu.

Kini ia sudah berumur 97 tahun. Isterinya sudah meninggal 25 tahun yang lalu. Sejak 15 tahun lepas, ia tidak lagi bekerja. Ia hanya duduk di pangkin di luar rumah, memerhati satu-satunya anak lelaki bekerja di sawah. Di situlah tempatnya melalui hari-hari, merindui kudrat lama, merindui arwah isterinya, merindui masa-masa lalu ketika anaknya masih kecil..

**********************************

 

“Ayah! Amin nak main benda ni, ayah tarik Amin ye!” Laung Amin, sambil jari menunjuk upih kelapa di depannya.

“Boleh…kejap ya. Ayah nak tebas semak ini dulu. Semak tebal ni bahaya. Nanti ayah tarik Amin ya,” jawab si ayah, penuh kasih sayang.

“Alaa..Amin nak main sekarang. Cepatlah ayah! Cepatlah!” pujuk Amin yang berusia 11 tahun sambil menhentak-hentak kakinya.

Si ayah faham benar dengan perangai anak lelakinya itu, “nanti muncung lah tu, sehari tak mahu makan nanti,” bisik si ayah di dalam hati.

“Ok, ok. Amin duduk, ayah tarik.”

“Yeay! Ayah tarik laju-laju tau,” gembira benar bila hajatnya dituruti. “Laju lagi! Laju lagi! Ayah tarik Amin turun cerun kat sana ye, mesti lagi laju nanti,” arah Amin, sambil jarinya menunjuk ke hujunh hutan.

“Ya Allah!” Jerit si ayah, ia merasakan kakinya terpijak sesuatu. Duri, barangkali. Atau kaca.

“Alaa..kenapa ayah berhenti ni? Amin belum puas lagi. Tariklah lagi.”

Tanpa menghiraukan luka dan darah pada kakinya, si ayah ini terus menarik upih kelapa yang dinaiki anaknya, sehingga Amin lapar dan mengajak pulang untuk makan.

 

**********************************

 

Sesekali Amin melirih kepada ayahnya yang berada di atas pangkin, “tahu berehat saja si tua ni, pemalas betul. Aku penat-penat bekerja, dia tahu makan saja,” ngomel si anak. Geram benar ia melihat ayahnya duduk tidak berbuat apa-apa, selain makan.

Suatu hari, kerana tidak tahan lagi dengan si ayah, yang dianggap menyusahkan keluarganya, kebetulan pula musim kemarau dan kekurangan makanan, Amin membuat satu kerana kayu untuk ayahnya.

“Ayah! Masuk dalam ni,” tanpa berkata apa-apa, si ayah masuk ke dalam keranda.

Amin menarik keranda ke hujung hutan. Di sana ada sebuag cerun tinggi, fikirnya cerun itu sesuai untuk di membuang keranda berisi ayahnya itu, supaya si ayah tidak lagi menyusahkan ia dan keluarganya.

Sampai di cerun, sebelum sempat Amin menolak keranda itu, dia terdengar ketukan dari dalam keranda.

“Hidup lagi rupanya,” bisiknya di dalam hati, dan membuka keranda. “Hah, ayah nak apa lagi?”

“Ayah tahu Amin nak buang ayah dari cerun ini. Amin nak buang ayah, Amin buang lah. Tapi Amin janganlah buang keranda cantik yang Amin buatkan ini. Mungkin anak Amin perlukan keranda ini nanti”

Written by wann

January 17, 2011 at 12:17 pm

Mahu banyak, beri banyaklah!

with 5 comments

Mungkin kita biasa dengar circle of influence (lingkungan berpengaruh), iaitu sekumpulan orang yang senang dipengaruhi. Setiap kita ada circle of influence ini, yang hakikatnya kita boleh pengaruhi mereka, termasuklah adik-beradik, atau teman-teman rapat. Mempengaruhi di sini membawa maksud mengajak mereka (atau, lingkungan ini) untuk berbuat yang baik dan mencegah yang mungkar. Tetapi cerita saya hari ini bukar berkisar berkenaan lingkungan ini, sebaliknya berkaitan dengan circle of joy, atau lingkungan kebahagiaan/kegembiraan.

Rambutan Yang Sedap!

Suatu hari, seorang petani bercadang menghadiahi setangkai rambutan terbaik dari kebunnya, kepada seorang pengembala kambing bersebelahan kebunnya.
“Rambutan ini adalah rambutan terbaik dari kebun hamba. Ambillah.”

“Alhamdulillah, terima kasih tuan hamba. Hamba akan sampaikan rambutan ini kepada Tuan Jalak,” tungkas si pengembala.
“Tidak. Rambutan ini hadiah hamba untuk tuan hamba, bukan kepada Tuan Jalak.”
“Untuk hamba?”
“Ya. Kerana setiap kali hamba memerlukan bantuan mengangkut air ketika musim kemarau, tuan hamba selalu membantu hamba. Kadang-kadang tuan hamba memberi hamba minum. Pemberian ini adalah tanda syukur hamba kepada Allah dengan anugerah tanah yang subur dan ditumbuhkan buahan yang cukup cantik ini, dan semoga tuan hamba sentiasa dipayungi rahmat, insyaAllah.”
 

Sedapnya!


Saling Menghargai

Si pengembala sangat kagum akan buah rambutan itu, kelihatannya begitu segar dan sedap! Si pengembala ini teringat akan tuannya, iaitu Tuan Jalak, yang selalu memberi peringatan kepadanya agar berbuat baik kepada sesiapa sahaja. Lalu, si pengembala ini membuat keputusan untuk memberikan rambutan tadi kepada tuannya.
Tuan Jalak sangat berbesar hati menerima pemberian pekerjanya. Kebetulan pada masa itu, isterinya Tuan Jalak sedang demam. Maka Tuan Jalak memberi rambutan tadi kepada isterinya.
“Semoga rambutan ini memberi kegembiraan kepada Dinda,” kata Tuan Jalak kepada isterinya.
Begitupun, si isteri ini terfikir untuk memberi rambutan ini kepada pembantu rumahnya yang menjaganya dengan begitu baik sekali sepanjang dia sakit. Pembantu ini merasakan dia tidak layak menerima pemberian itu, lalu diberikan pula kepada tukang masak, yang selama ini memasak makanan yang enak-enak untuk Tuan Jalak sekeluarga, tetapi jarang sekali dia merasa makanannya sendiri.
Si tukang masak amat gembira dengan pemberian itu. Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia bertemu dengan jirannya, lalu memberikannya kepada jirannya itu. Fikirnya, tentu jirannya amat menyukai rambutan ini.  Walau bagaimanapun, tukang masak ini terkejut, apabila jirannya menangis terharu menerima rambutan tadi.
What you give, you get back!

Rupanya, jiran tukang masak ini ialah si petani di awal cerita tadi. Masakan tidak terharu, apabila dia menerima kembali pemberiannya pagi tadi, tanpa sedikit pun dimakan. Malah masih kekal cantik dan segar. Lantas, si petani ini kembali kepada pengembala tadi.
“Tuan hamba ambil dan makanlah. Memandangkan tuan hamba berseorangan di sini, mudah-mudahan rambutan ini akan menggembirakan tuan hamba.” Si pengembala tadi tersenyum bahagia menerima rambutan itu.
Circle of Joy

Begitulah hidup kita sehari-harian. Kenal pasti siapa circle of joy kita, dan pastikan kita menghargai mereka. Menghargai tidak semestinya dengan memberi seperti dalam cerita yang saya bawakan ini, malah berterima kasih juga sebenarnya mampu membuat mereka tersenyum. Mudah bukan?🙂
Mudah-mudahan apa yang saya sampaikan ini baik untuk saya, dan untuk sahabat-sahabat semua. Yang baik itu sesungguhnya hanya dari Allah SWT., maka wajarlah kita panjatkan segala kesyukuran dan penghargaan kita kepada-Nya. Janganlah kita menjadi seperti Si Sopak dan Si Botak yang tidak tahu bersyukur, akhirnya ditarik balik nikmat dan kembali kepada asal.
Akhirnya, marilah kita renungi sepotong ayat dari Surah ar-Rahman. Firmannya, “Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?”

Written by wann

January 6, 2011 at 1:16 pm

Terbanglah duhai Rerama!

with 5 comments

“Sejak mula kerja ni macam mana hidup kau?”

“Biasa saja. Pagi keluar pergi kerja, petang balik kerja, malamnya makan dan rehat.”

“5 hari seminggu itu rutin kau? Tak bosan ke, bro?”

“Apa lagi boleh buat? Malam of course nak rehat, esok nak kerja lagi.”

“Hujung minggu buat apa?”

“Haha. Kau tanya macam lah kau tak kenal aku. Macam belajar dulu juga la. Lepas Subuh, tidur puas-puas. Kalau tak keluar ke mana-mana, layan movie atau k-drama lah. bro”

Soalannya : Jika ini ialah rutin anda, selesakah begini?

Menjadi Ulat Lebih Bahagia?

Di sebuah tasik, tinggallah satu populasi ulat pemakan daun. Ulat-ulat ini begitu bahagia berkawan dan menjamu daun-daun hijau dari pokok-pokok kecil di sekitar tasik itu. Tidak sekalipun mereka terfikir untuk meninggalkan tasik itu, berhijrah ke kawasan lain, merasai enaknya daun-daun lain. Mereka takut, apa yang mereka ada sekarang adalah yang terbaik dan tidak ada di mana-mana tempat lain. Sayang sebab takut!

Sesekali, mereka bersedih bila ada antara mereka yang memanjat pada batang bunga lili, dan hilang hilang tidak muncul lagi. Mereka faham benar, bila ini terjadi, kawan-kawan mereka telah tiada, mati dan hilang ke mana!

Suatu hari, seekor ulat teringin memanjat batang bunga lili tersebut. Desakan dalamannya kuat, bagaimanapun dirinya pernah diingatkan agar tidak sekali-kali berbuat begitu. Nekad, si ulat akan memanjat batang pokok lili tersebut, dan ia berjanji pada dirinya untuk kembali kepada kawan-kawannya di sini.

Sampai di puncak batang bunga lili, si ulat ini kepenatan. Hangat mentari betul-betul membuatnya mengantuk. Si ulat mahu tidur sebentar. Ketika si ulat sedang tidur, badannya berubah. Bila si ulat ini bangun, ia melihat badannya tidak lagi seperti dulu, malah mempunyai sepasang sayap yang cantik.

"Bukan lagi diriku"

Terbanglah duhai Rerama!

Si ulat itu tadi kini adalah seekor rama-rama. So fly he did! Sedang ia terbang, ia merasakan apa yang dilihatnya kini sebenarnya jauh lebih membahagiakan, berbanding hanya hidup memakan daun sebelum ini.

Terbanglah, sayang!

Keluarlah dari Kepompong Selesa

Ayuh, keluarlah dari kepompong selesa kita. Hidup ini terlalu indah untuk dijalani dengan rutin yang sama. Jalanilah dengan indah!

Hidup ini adalah tanggungjawab. Sesekali, pandanglah ke kiri kanan kita. Apakah kita tidak punya tanggungjawab lain selain apa yang kita ada sekarang? Apakah kita tidak akan dipertangungjawabkan di atas semua (kelalaian) ini?

Above all, kita semua pemimpin bukan. Dan pastinya kita akan ditanya tentang semua ini, tentang bagaimana kita menjalani hidup.  Hiduplah untuk kekal hidup. ^_^

Written by wann

December 18, 2010 at 9:29 am

Kisah Sebakul Air

with 7 comments

Selalu terjadi, kita merasakan usaha kita sia-sia. Penat lah buat, tapi langsung tiada hasil. Malas lah buat perkara sama lagi, tidak berbaloi. Begitu juga halnya dengan rutin membaca (baca: membaca Quran).

Apa yang lebih mahal, usaha (effort) atau hasil (result)?

Amad dan Atuk

Seorang petani tua tinggal bersama cucunya di sebuah kawasan pedalaman. Rutin sesudah subuh sebelum bertani, Si Atuk akan membaca Quran di pangkin. Amad, cucu Si Atuk sentiasa memerhatikan gelagat atuknya, dan berusaha untuk merutinkan bacaannya seperti atuk. Suatu hari Amad bertanya, “Atuk, Amad cuba untuk baca Quran setiap hari macam Atuk, tapi Amad selalu tidak faham. Bila faham sekalipun, Amad tetap akan lupa bila Amad tutup Quran. Apa ya kebaikan baca Quran, Atuk?”

Si Atuk menutup Quran dan tersenyum, faham benar dengan pertanyaan cucu tunggalnya itu. Tidak menjawab soalan Amad, sebaliknya Atuk menyuruh Amad berbuat sesuatu, “Amad ambil bakul arang di dapur. Pergi ke sungai dan bawa balik sebakul air untuk Atuk.”

Sebakul air?

Amad hanya menurut, pergi ke sungai, mengisi air ke dalam bakul, dan berjalan balik ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, air terkeluar melalui lubang-lubang bakul yang dibuat dari rotan. Amad berpatah balik ke sungai sekali lagi. Dari jauh  Si Atuk memerhatikan gelagat Amad sambil tertawa, lalu berteriak, “Amad perlu bergerak lebih laju, supaya sempat sampai di rumah!”

Kali ini Amad berlari lebih laju, tetapi hasilnya tetap sama, bakul tetap kosong sebelum sampai ke rumah. Tercungap-cungap keletihan, Amad bilang terlalu mustahil untuk membawa air menggunakan bakul, lalu Amad mencapai baldi.

“Atuk tidak mahu air dari baldi, Atuk hanya mahu air dari bakul.  Amad belum berusaha dengan bersungguh, Atuk tahu.” Lalu Amad mencapai bakul tadi dan segera ke sungai, dia ingin membuktikan kepada Atuknya yang dia telah berusaha bersungguh-sungguh. Malah semakin cepat Amad berlari, semakin cepat bakul itu bocor.

“Tengok Atuk, tidak berguna bukan? Bakul ini tetap kosong,” kata Amad kepada Atuknya, menelan rasa kecewa.

Betulkah tidak berguna?

“Tidak berguna kata Amad? Cuba Amad lihat bakul itu.” Amad melihat bakul di tangannya, dan Amad baru perasan satu perkara – bakul itu tidak lagi comot dengan kesan arang dan tanah, malah jauh lebih bersih, luar dan dalam.

“Amad, itulah yang berlaku bila kita selalu membaca Quran. Kita mungkin tidak faham, atau tidak ingat apa-apa, tetapi yakinlah  bila kita membacanya, kita akan berubah, luar dan dalam”. Amad tersenyum lebar, penuh bahagia, persoalannya kini terjawab.

Cucilah hati.

Usaha atau Hasil?

Seringkali kita terfokus pada hasil, sehingga kita terlupa usaha itu yang lebih utama. Tanpa usaha tiada hasil. Mulai sekarang ubahlah apa yang kita lihat. Lihat dan hargailah usaha, walau hasilnya tidak seberapa. ^_^

Jika kita berupaya sekuat tenaga menemukan’sesuatu, dan pada titik akhir upaya itu hasilnya masih nihil, maka sebenarnya kita telah menemukan apa yang kita cari dalam diri kita sendiri, yakni kenyataan, kenyataan yang harus dihadapi, sepahit apa pun keadaannya. [Edensor]

Written by wann

December 8, 2010 at 12:03 pm

Pemadam dan Pensil

with 8 comments

Pensil : Maafkan aku, kawan.

Pemadam : Kenapa, kawan? Kamu tidak berbuat salah padaku.

Pensil : Maafkan aku kerana telah menyakitimu, kawan. Bila saja aku terbuat silap, kau selalu ada untuk memadamkan. Sedang kesilapan aku hilang, kamu hilang sebahagian dirimu, kawan. Semakin kecil dan kecil.

Pemadam : Ya, tidak mengapa, kawan. Kamu tahu, memang itu tujuan hidupku, untuk membantumu ketika kamu memerlukan aku. Dan aku tahu, suatu masa nanti aku akan pergi. Ketika itu kamu akan mendapat teman baru. Usah risau, kawan. Aku sukakannya!

 

Maaf, kawan.

 

Dengan cara apa hidup kita akan termaknai?

 

Pensil : Kawan, aku sayang kamu!🙂

 

Sekali lagi, dengan cara apa hidup kita akan termaknai?


Pemadam : Dan kamu, tulislah kepada dunia, kawan. Biar kehilangan aku termakna.

 

Maka dengan cara apa hidup kita akan termaknai, kalau bukan untuk memberi sebanyaknya?

Written by wann

November 25, 2010 at 3:41 pm

Rubik Hidup

leave a comment »

6 warna. 6 sisi berbeza. Boleh diputar ke kiri atau kanan, depan atau belakang, atas atau bawah. Teka-teki mekanik tiga dimensi. Kucar-kacirkan formasi warnanya. Nah. Sekarang selesaikan formasi kembali ke asal. Putarlah semahumu.

Kiub mekanik 3-D

Tetapi percayalah, tanpa formula algoritma yang betul, putaran anda tidak akan berhasil menemukan formasi yang betul. Algoritma ini adalah putaran-putaran khusus untuk menghasilkan formasi yang betul. Boleh dihafal dan dipelajari.

Sekarang berapa masa anda? Masa terpantas untuk kiub 3x3x3 ialah 6.77saat, diulang S.A.A.T..saat, oleh Feliks Zemdegs (Australia).

Mudah bukan?

Tetapi hidup tidak semudah itu kawan.

Tidak semudah kiub 3x3x3. Malah tidak semudah kiub 7x7x7 sekalipun!

Siapa tahu, rubik hidup kita mungkin 12x12x12? Bagaimana kalau 30x30x30? Dan bagaimana kalau anda sedang bermain dengan mata tertutup (blindfolded)?

Inilah realiti sebenar hidup. Rubik kiub inilah hidup kita. Tidak mudah, tetapi tidak susah andai kita tahu formulanya. Dan saya tidak berniat mengajar formula itu kepada anda.

Dan bernafaslah dengan setiap putaran itu. Hati-hati.

Takwa itu seperti melalui jalan yang penuh duri dengan berhati-hati dan penuh sabar

Written by wann

November 23, 2010 at 11:02 am

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: